Tuesday, 3 March 2015

Perhubungan Yang Sihat



Assalamualaikum semua..
  Alhamdulillah, kita masih bernafas sehingga saat ini.. Hari ini, Sarah akan kongsikan :

Tips Menjalin Perhubungan yang Sihat.
 Perhubungan yang sihat adalah perhubungan yang membawa kegembiraan kepada kita dan membuat kita berasa senang dengan diri sendiri. Kita boleh menjalin perhubungan yang sihat dengan sesiapapun termasuk sanak saudara, kawan-kawan dan teman istimewa. yang perlu diingati adalah perhubungan yang sihat mengambil masa, tenaga, sikap saling menghormati dan kasih sayang.Berikut antara beberapa tips untuk menjalin perhubungan yang sihat.

#Berkomunikasi dan Berkongsi.

  Perkara yang paling penting dalam perhubungan yang sihat antara dua individu adalah kebolehan untuk berbual dan mendengar luahan satu sama lain. Selain itu, kita perlu mencari titik persamaan yang boleh merapatkan lagi silaturrahim, contohnya hobi, buku atau muzik yang sama-sama minati.Dalam perhubungan ini kita perlu yakin bahawa kita boleh saling berkongsi dan meluahkan perasaan selain luahan kita dihormati dan dipegang dengan amanah. Dalam erti kata lain, kita tidak akan dihakimi dan kita juga tidak akan menghakimi orang tersebut.

  Penting untuk diingati bahawa dalam perhubungan yang sihat tiada berlaku penipuan atau pengkhianatan. Komunikasi antara kedua-dua belah pihak haruslah berpaut teguh kepada kejujuran dan ketelusan. Dengan kebolehan berkomunikasi secara terbuka kita dapat membuktikan kepada individu itu bahawa dia seorang yang penting dalam hidup kita.


#Saling Menghormati dan Mempercayai.

   Melalui perhubungan yang sihat kita belajar menghormati dan mempercayai individu-individu penting dalam hidup kita. Tentu sekali akan berlaku konflik atau perselisihan faham dalam mana-mana perhubungan, tetapi kita harus belajar untuk menghadapi semua itu dengan tenang dan fikiran yang terbuka. Dalam keadaan tenang diri dan berkomunikasi secara terbuka kita akan lebih memahami konflik yang dihadapi dan cara terbaik untuk mengaatasi konflik tersebut.

  Perlu ditekankan di sini bahawa dalam perhubungan yang sihat kita tidak sama sekali patut berasa takut ke atas keselamatan diri kita apabila konflik berlaku. Ini kerana dalam perhubungan yang sihat kedua-dua belah pihak saling hormat-menghormati dan menyayangi antara satu sama lain. Ini termasuk menghormati diri dan perasaan kita sendiri di mana kita boleh menetapkan batas sejauh mana kita berasa selesa dengan individu tersebut.
  
Itu sahaja yang Sarah dapat kongsikan pada hari ini. Selamat mengamalkannya. Assalamualaikum.. =) 

No comments: